Dalam dunia kewangan peribadi, kita sering kali ditawarkan untuk menyertai pelan takaful atau insurans? mungkin kita rasa bahawa takaful dan insurans adalah sama. Persoalannya mengapakah sebahagian menyebut takaful dan sebahagian menyebut insurans? Mengapa insurans dan takaful tidak dinamakan atas satu nama sahaja?
Kalau dilihat objektif kedua-dua pelan ini adalah sama tetapi beberapa perbezaan sudah dijelaskan oleh ulama Islam. Perbezaan utama antara kedua-dua pelan ini adalah AKAD atau dalam bahasa sekarang dipanggil KONTRAK. Sebelum wujudnya takaful di pasaran Malaysia ulama Islam cuba untuk meneliti pelan insurans sama ada mengikut muamalah Islam atau tidak.
Setelah diteliti akad / kontrak insurans adalah kontrak JUAL BELI. Jual beli memang diharuskan oleh Islam tetapi mesti memenuhi rukun jual beli mengikut Muamalah Islam. Dalam jual beli mesti ada PENJUAL, PEMBELI, AKAD (PERSETUJUAN JUAL BELI TERSEBUT) dan BARANG YANG DIBELI.
Maka menjadi tanda tanya kepada kita apakah barang yang dibeli dalam pelan insurans. Adakah barang tersebut polisi yang bernilai jutaan ringgit? atau kematian? atau nasihat? Maka di situ lahirlah beberapa perkara yang tidak dibenarkan dalam Islam.
1. Riba – dalam insurans riba akan berlaku apabila pertukaran wang berlaku di antara wang caruman peserta yang sedikit diganti dengan wang manfaat yang dibayar oleh syarikat dengan nilai lebih tinggi. Elemen riba turut wujud dalam penjanaan keuntungan pelaburan dan insurans yang akan digunakan dalam pembayaran pampasan kepada pemegang polisi. Ini kerana dana-dana tabungan pelaburan insurans biasanya tidak dipantau oleh Jawatankuasa Syariah.
2. Maisir (Judi) – dalam kontrak insurans wujud bilamana:
- Peserta membayar premium yang kecil dengan mengharapkan wang yang lebih besar jumlahnya.
- Peserta hilang wang premium apabila peristiwa ingin dilindungi (the insured event) tidak berlaku.
- Syarikat akan rugi jika terpaksa membayar tuntutan yang melebihi jumlah premium yang diterima
3. Gharar (tak pasti) -Kontrak Insurans mengandungi unsur gharar kerana apabila tidak berlaku tuntutan, satu pihak (syarikat insurans) akan mendapat semua keuntungan (premium) sementara satu pihak lagi (peserta) tidak mendapat sebarang keuntungan.
Pada 15 Jun 1972 , Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dalam persidangan yang kelimanya telah memutuskan iaitu insurans nyawa sebagaimana yang dijalankan oleh syarikat-syarikat insurans yang ada pada masa ini adalah suatu muamalah yang fasid (rosak/tidak sah) yang tidak sesuai dengan prinsip-prinsip Islam dari segi aqadnya kerana mengandungi unsur-unsur gharar (tidak ketentuan), maisir (judi) dan riba.
Para ulama telah sepakat memutuskan Takaful sebagai ganti kepada Insurans Konvensional. Akad / Kontrak DERMA (Tabarru’) menjadi teras utama yang membina paksi Takaful. Dalam konteks Takaful setiap peserta yang ingin mendapatkan perlindungan Takaful mestilah hadir dengan niat yang ikhlas ketika menderma bagi membantu sesama para peserta yang lain jika mereka menghadapi musibah.
Dalam erti kata lain yang lebih tepat, semua peserta tersebut bersetuju untuk saling membantu ikalangan mereka ketika ditimpa kemalangan.
Dengan penggunaan derma ini maka Takaful terselamat dari terkena unsur riba’ gharar dan maisir.
No comments:
Post a Comment